Pages

16 May 2014

Pengaruh Estetika Seni Islam Dan Kesenian Tradisi


Seperti pada dekad 1970-an, dekad 1980-an juga memperlihatkan kepelbagaian stail dalam dunia seni lukis tempatan di samping memuncaknya minat kepada estetika kesenian Islam. Kepelbagaian stail, antaranya lahir daripada golongan untuk mencari suatu identity yang mencerminkan keperibadian dan nilai-nilai bangsa, kemasyarakatan, kebudayaan dan agama. Ini merupakan lanjutan daripada reaksi kepada Dasar-dasar Kebudayaan Kebangsaan yang memuncak dalam dekad tujuh puluhan.



Dalam tradisi Islam, pelukis dan tukang dipandu oleh prinsip yang tertentu dalam kegiatan kreatifnya. Teras kesedaran ialah ‘Tauhid’ iaitu Keesaan, akidah yang teguh dalam kepercayaan kepada Allah Maha Pencipta Alam. Dalam amalannya, tiap perkara yang dilakukan oleh seseorang (pelukis) Islam yang sebenarnya dilakukan dengan penuh kesedaran darihal hakikat ini. Alam semula jadi tidak semestinya diagung-agungkan, melainkan sebagai bahan tanpa zat. Oleh itu, pengabstrakan dapat diterima. Tetapi nilai abstrak dalam seni rupa Islam tidak ada kaitan dengan pengabstrakan dalam seni rupa Barat, di mana watak pelukis ditegaskan, meskipun dalam bentuk abstrak. Dalam seni rupa Islam, alam semula jadi tidak ditegaskan untuk menarik akal pemerhati kepada pendapat tentang kelebihan Islam. (Al-Faruqi, Lois Lamya dalam Syed Ahmad Jamal, 1987:41)


Rujukan kepada kesenian tradisi juga dapat dilihat dalam karya dekad 1980-an, misalnya dalam karya Hashim Hassan, Fatimah Chik, Mastura Abdul Rahman, Syed Shaharuddin Bakeri dan Haron Mokhtar. Hashim Hassan menerusi karya yang bertemakan “Burung Batik” berbicara tentang keamanan, peperangan dan kemajuan teknologi menerusi pengucapan bahasa tampak batik, agak dekoratif, simbolik serta lembut, sesuai dengan peribadi Melayu. Bahasa batik juga lahir dalam karya-karya Fatimah Chik dan syed Shaharudin. Berbeza daripada catan-catan batik Chuah Thean Teng pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, karya mereka berdua tidak menampilkan imejan figura manusia, sebaliknya memiliki symbol-simbol yang kaya pengertiannya dengan masyarakat serantau.


Meskipun kecenderungan kepada nilai-nilai estetika seni Islam dan kesenian tradisi memuncak dapa dekad lapan puluhan, ia tidak pula mematikan pertalian stail pelukis-pelukis tempatan dengan gaya seni Barat, terutama Ekspresionisme dan Abstrak Eksptesionisme. Unsure-unsur ini jelas kelihatan dalam karya-karya Yusof Ghani bertemakan “Siri Tani” dan karya-karya Awang Damit Ahmad (sekadar menyebut beberapa contoh). Minat kepada stail begini dapat dilihat menerusi pameran dan bengkel-bengkel seni, seperti Bengkel Catan Ekspressionisme kelolaan Balai Seni Lukis Negara pada 3 hingga 10 Mac 1986, di mana seramai 20 orang pelukis Malaysia mengikuti bengkel di bawah kelolaan Guenther Winkledari republik Persekutuan Jerman. (Muliyadi Mahamod, 2001:17-18)

Sumber Link

No comments:

Post a Comment